There was an error in this gadget

Wednesday, August 5, 2009

Monolog Gogoh



aku buka blog anas.
dia post monolog yang dia buat untuk
kelas asas pengarahan kami.
aku terfikir nak post jugak.
bukan berlagak.
hanya nak lihat dan nilai respon daripada
sesiapa yang sudi.
sebagai panduan mengutip pengalaman.
thx anas. kau bagi aku idea yang bernas.


p/s : perhatian. uncle zali, pandangan darimu amat diharapkan.terima kasih.



GOGOH


Langit membiru. Angin sesekali mengusap dan mendinginkan lembut pipiku yang kian basah dek titisan peluh yang memercik tatkala wajahku disimbah terik mentari. Separuh dari badanku sudah dilumuri lumpur. Rindunya aku pada suasana seperti ini. Sayu tiba-tiba menerpa sanubari, mendesak ingatanku untuk kembali ke 10 tahun yang lalu. Seorang kanak-kanak kecil mengejutkan tidur seorang ayah yang kepenatan, baru pulang dari mengerah keringat, mengejar sesuap nasi. “Pak, bagun pak, jom gogoh pak, dah pukul 4 ni, bapak janji nak gogoh parit belakang tu,” desak anak kecil itu yang sememangnya dahagakan panduan dan pengalaman. Dengan himpitan keletihan, digagahi juga kudrat tuanya untuk memenuhi janji bersama anak bongsunya itu. “Kejap, bapak nak mandi dan sembahyang dulu, dalam pukul 5, kita pergi sama-sama ya?” balasnya berserta senyuman. Anak kecil itu segera mempersiapkan keperluan. Bubu disusun kemas, bekas hasil tangkapan sudah dibasuh dan disediakan, pisau dan parang disimpulkan tali dengan kemas agar mudah dibawa. Perasaan girang tidak dapat lagi disembunyikan dan terpancar di wajah anak kecil itu. Dipimpin tangan ayahnya menyusuri tebing sawah yang baru sahaja selesai dituai. Apabila sampai, anak kecil itu diajar segenap cara untuk melakukan aktiviti itu. Dengan penuh sabar, ayahnya menurunkan ilmu yang diharapkan mampu diingati dan dilakukan sendiri kelak. “Tak kisahlah kau belajar tinggi ke, kau duduk kampung ke, apa yang bapak nak, kau sentiasa ingat, di mana pun kau berdiri, di sini jugalah asal usul kau, tak semestinya bila kau dah naik kereta besar, kau tak boleh main lumpur ni lagi.” Anak kecil itu merenung sedalamnya wajah yang kian berkedut dan menampakkan urat-urat yang kian timbul berserta hembusan nafas yang laju, menggambarkan kerahan tenaga yang sebenarnya kian dihimpit kepenatan. Diselami sedalamnya maksud kata-kata ayahnya itu. Hari ini, anak kecil itu kembali ke sini selepas 10 tahun tidak bergelumang lumpur, menjejak parit, rela badannya dilumur tanah, melompat mengejar ikan yang berenang dan bersembunyi di celahan rerumput yang kering. Lalu merenung langit, bergenang air matanya mengenang semula, insan yang mengajarnya semua ini telah tiada. Tenang bersemadi di alamnya. Hati kecilku sebak berbisik “Bapak, atoi ingat semua pesan bapak. Kalau anak sawah tu, anak sawah jugak. Takkan berubah.” Jeritan abangku mengejutkan aku dari lamunan, memintas imbauan yang mengharukan. Semoga bapak tenang di sana. Anakmu sentiasa mendoakan keamanan, dan kesejahteraanmu.Amin.

2 comments:

Ghazali Lateh said...

Atoi, satu permulaan yang baik. Penulisan memerlukan seseorang itu menulis tentang sesuatu yang dekat dengan dirinya. Kemudian perkara itu dikembangkan dengan kreativiti, ditambah pula dengan ilmu bantu yang mantap. Kisah GOGOH itu sebenarnya sangat menarik jika dikreatifkan seperti terpegang ular, tertelan lumpur, tertusuk sirip ikan, tersengat keli, dan lain-lain. Penulisan kreatif memerlukan penulis CREATE atau mencipta sesuatu imaginasi daripada perkara yang benar-benar berlaku. Teruskan menulis, dan uncle akan membantu dengan senang hati.

Naz said...

hahaha.
bgus.
ayat yang sangat mendayu.
hahaha