Saturday, June 13, 2009

Jika Mustahil Pada Tersurat, Carilah Pula Apa Tersirat





8 - 12 JULAI 2009
BALAI BUDAYA, TUN SYED NASIR, DBP
RM20 ( 50% potongan kepada warga emas, OKU, dan pelajar )


Drama ini mengangkat keperibadian seorang wanita unggul bernama Ungku Intan Anis atau dibahasakan Ungku Anis. Ungku Anis, seorang yang bijak, menawan dan sensitif. Dia bersahabat dengan Danial Sundaram sejak di bangku sekolah lagi dan terus akrab semasa di luar negara. Danial tidak mempunyai fahaman agama yang jelas walaupun dia pernah mengarak kavadi semasa perayaan Thaipusam penganut agama Hindu semata-mata untuk memenuhi nazar ibunya. Danial yang pernah belajar perbandingan dan psikologi agama di universiti sedang dalam pencarian sebenarnya.
Keperibadian Ungku Anis yang luar biasa hingga sanggup datang bersama kawan-kawannya pada hari Danial menanggung kavadi menyentuh dan mengharukan hati Danial. Bukan itu sahaja, Ungku Anis juga terlibat dalam kerja-kerja sosial, membantu orang miskin di kampung malah hingga sanggup bersama-sama misi Kristian membantu orang di Guatemala dan negara-negara Afrika.
Dalam usia muda Ungku Anis ke Makkah, tetapi Ungku Anis telah hilang dalam peristiwa Terowong Al-Mu’aysam yang mengorbankan 1,426 jemaah haji. Sama ada dia terkorban, tiada siapa yang tahu kerana Ungku Anis tidak pernah ditemui selepas itu.
Kehilangannya telah mendorong Danial kemudiannya ke Makkah untuk mencari sahabat yang sangat dikasihi itu. Ada orang yang mengaku melihat kelibat wanita seperti Ungku Anis di Makkah. Danial bertemu seorang lelaki, Haji Fadzil di Makkah yang mengatakan dia pernah membantu Ungku Anis semasa peristiwa Terowong Al-Mu’aysam. Haji Fadzil pada suatu hari telah membawa Danial ke Gua Hira’ untuk menemui Ungku Anis.
Drama ini mengupas isu kemanusiaan dengan halus dan dengan lapisan makna yang perlu ditafsirkan. Drama ini juga mengangkat sikap manusia yang dalam pencarian erti kebenaran. Dan juga bagaimana manusia-manusia yang hilang sifat kemanusiaan ketika dalam ujian musibah sedangkan selama ini sifat itulah yang diajarkan dan disemai ke dalam diri mereka.



No comments:

Powered By Blogger